Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kilang getah yang menyebabkan dua pekerjanya melecur teruk.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kilang getah yang menyebabkan dua pekerjanya melecur teruk.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

RAMBUT dan pakaian hangus terbakar. Itu keadaan ngeri dua lelaki warga Bangladesh yang melecur teruk sejurus kilang getah tempat mereka bekerja di Kampung Orang Asli, Kuang, Gombak, terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi hari ini, mangsa yang cedera parah bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Selangor Zulffikar Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.30 pagi sebelum satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di sana, pasukan menyelamat mendapati terdapat dua mangsa berada di tempat kejadian dalam keadaan terbakar.

"Anggota bomba kemudian menyelamatkan kedua-dua mangsa dan api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Zulfikkar berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 12 tengahari.

"Dua mangsa yang melecur teruk itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan kecemasan.

"Kilang yang terbakar itu adalah kilang membuat getah dan tayar. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:59 PM