ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di rumah terbakar sehingga menyebabkan remaja maut dan kanak-kanak cedera di Kampung Baru Kundang, Sungai Buloh, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di rumah terbakar sehingga menyebabkan remaja maut dan kanak-kanak cedera di Kampung Baru Kundang, Sungai Buloh, hari ini. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Sungai Buloh: Remaja perempuan maut manakala adik lelakinya cedera dalam kebakaran sebuah rumah setingkat di Kampung Baru Kundang di sini, hari ini.

Mangsa, B Triviya, 19, disahkan meninggal dunia akibat melecur manakala B Vishnu berusia tiga tahun cedera dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian 11.10 pagi.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba api sedang marak, namun remaja dan kanak-kanak yang berada dalam rumah berkenaan sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Seramai 16 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu," katanya hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan rumah musnah 90 peratus.

"Bomba dimaklumkan ketika kejadian, ibu bapa tiada di rumah kerana bekerja. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 12:42 PM