Siti Rohana Idris


Machang: Pernah mempunyai kerjaya bergaji tetap dan memiliki keluarga bahagia, namun kini lelaki ini tinggal sebatang kara di rumah pusaka uzur di Kampung Pangkal Changgung, di sini.

Ia berikutan Mohd Zakuan Ibrahim, 46, bekas 'programmer' sebuah bank di ibu negara itu membuat keputusan berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang sakit, kira-kira 18 tahun lalu.

Mohd Zakuan berkata, dia membuat keputusan nekad itu selepas permohonan untuk dipindahkan ke negeri ini tidak diluluskan.

"Akhirnya saya dan isteri serta seorang anak pulang ke Kelantan dan bekerja kampung sambil menjaga ibu yang sakit sebelum ibu akhirnya meninggal dunia, beberapa tahun kemudian.

"Malah, jodoh saya dengan isteri juga tidak panjang dan saya memilih untuk menetap di rumah pusaka ini bersendirian sejak 10 tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

MOHD Zakuan di hadapan rumah pusaka di dalam semak tanpa bekalan elektrik. Siti Rohana Idris
MOHD Zakuan di hadapan rumah pusaka di dalam semak tanpa bekalan elektrik. Siti Rohana Idris

Terdahulu, Mohd Zakuan menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diketuai Ketua Pegawai Pembangunannya, Mohd Azman Ghazali bersama Cempaka Merah Asnaf Society.

Mohd Zakuan berkata, keadaan rumah pusakanya juga semakin teruk kerana menunggu masa untuk ranap, selain tiada bekalan elektrik sejak tujuh tahun lalu manakala air diambil dari perigi.

Menurutnya, kehidupan malamnya hanya diterangi cahaya lilin dan lampu suluh sahaja, sehingga sudah terbiasa dengan keadaan itu.

"Pendapatan saya dengan bekerja kampung juga tidak menentu, sehingga adakala terpaksa mengikat perut dan terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada rakan demi sesuap nasi.

"Apabila mendapat sumbangan makanan dari mana-mana individu, saya akan berjimat. Kehidupan saya dulu dan kini amat berbeza ibarat langit dan bumi," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Mohd Zakuan di talian 018-2845703 bagi menghulurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:04 PM