Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) sedang membantu Hashim Mat memakai baju baru di luar rumahnya selepas melawat warga emas itu di Kampung Batu 42, Pulai. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) sedang membantu Hashim Mat memakai baju baru di luar rumahnya selepas melawat warga emas itu di Kampung Batu 42, Pulai. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


KEDAIFAN hidup menyebabkan lelaki warga emas tinggal sebatang kara di rumah pusaka milik keluarganya di Kampung Batu 42, Pulai di Baling sejak tiga tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila rumah didiami Hashim Mat, 71, berada dalam keadaan begitu usang kerana berlubang di setiap penjuru, malah atap zink sudah reput selain tiada bekalan air dan elektrik.

Hashim berkata, keadaan fizikalnya semakin uzur dan bergantung dengan ubat kerana menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

Menurutnya, sebelum ini dia bekerja kampung dan tinggal di merata tempat sebelum kembali berteduh di rumah pusaka itu kerana kesihatannya tidak mengizinkan dia pulang berteduh di rumah pusaka keluarganya.

"Saya balik berteduh di rumah serba kekurangan ini tanpa bekalan elektrik dan air kerana sudah dipotong, sebaliknya hanya menggunakan lampu minyak tanah atau lilin untuk menerangi malam.

"Pada masa sama, saya tidak berdaya lagi untuk melakukan kerja berat, malah setiap bulan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Zakat Daerah Baling, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin dan Imam Masjid Sultan Salahuddin, Mohd Khairi Mohd Shaari.

Anak kedua daripada tiga beradik itu, berkata dia juga tidak pernah berumah tangga dan menguruskan diri sendiri termasuk memasak atau kadang kala jiran turut membantu.

"Saya menerima bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM200 sebulan.

"Dengan wang itulah saya berjimat-cermat untuk membeli keperluan dapur dan ubat-ubatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya akan membersihkan rumah warga emas berkenaan dan memperbaiki bumbung dan atap yang bocor supaya kehidupannya lebih selesa.

"Saya juga akan menguruskan penyambungan semula bekalan elektrik dan air selain memberi keperluan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:55 PM