SUSPEK ditahan polis selepas menyerah diri semalam. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan polis selepas menyerah diri semalam. FOTO ihsan polis
Melvin Joni


Padawan: Wanita yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 30 tahun menyerah diri kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Tangkapan dilaksanakan selepas suspek menyerah diri ekoran hebahan media yang dibuat pada dua minggu lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek turut mengaku menerima duit pelaburan sebanyak RM15,000 daripada mangsa namun mendakwa menyerahkan wang berkenaan secara berperingkat kepada seorang lelaki.

Katanya, suspek bagaimanapun gagal memberikan maklumat lanjut mengenai lelaki terbabit.

Aidil berkata, sebelum ini seorang wanita membuat laporan polis selepas menyedari tertipu dengan skim pelaburan melalui suspek.

Katanya, mangsa membayar secara tunai kepada suspek selain menerusi akaun atas nama sebuah syarikat.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu kerana tidak mendapat keuntungan pelaburan seperti dijanjikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:03 AM