SUSPEK (dua dari kanan) ditahan selepas menyerang dan mencederakan dua beranak menggunakan parang di hadapan rumahnya di Kampung Sinar Budi. FOTO MELVIN JONI
SUSPEK (dua dari kanan) ditahan selepas menyerang dan mencederakan dua beranak menggunakan parang di hadapan rumahnya di Kampung Sinar Budi. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Padawan: Seorang penganggur ditahan polis selepas menyerang dan mencederakan dua beranak menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya di Kampung Sinar Budi, Jalan Batu Kawa, di sini, pada jam 11.40 pagi, hari ini.

Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan turut merampas sebilah parang yang digunakan suspek.

"Suspek mengaku bergaduh dan menyerang mangsa menggunakan sebilah parang.

"Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati dengan anak mangsa yang menyuruh orang masuk ke rumah suspek untuk mengambil barang milik suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Aidil, suspek didakwa menyerang mangsa dan anak lelakinya menggunakan parang menyebabkan luka di lengan kiri mangsa.

Katanya, kejadian yang berlaku di hadapan rumah suspek itu turut menyebabkan motosikal milik mangsa rosak disebabkan terkena parang yang dihayunkan oleh suspek.

"Suspek juga mengugut akan datang menyerang mangsa di rumah dan akibat ditumbuk oleh suspek, anak pengadu juga mengalami bengkak di kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 7:55 PM