Suspek yang ditahan kerana menyembunyikan remaja perempuan berusia 14 tahun. FOTO MELVIN JONI
Suspek yang ditahan kerana menyembunyikan remaja perempuan berusia 14 tahun. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Padawan: Polis menemukan remaja perempuan 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu selepas muncul di sebuah pasar raya di Samariang, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, remaja berkenaan ditemukan kira-kira jam 3 petang susulan menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, remaja berkenaan dikatakan ke pasar raya berkenaan untuk membeli kad sim telefon bimbit.

"Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai mekanik.

"Suspek ditahan di sebuah kontena yang dijadikan tempat tinggalnya di Jalan Sudat, pada jam 4.50 petang bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata, soal siasat ke atas suspek mendakwa dia mula mengenali remaja perempuan terbabit tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Suspek tidak mengaku remaja berkenaan adalah teman wanitanya dan cuma menganggapnya sebagai kawan biasa," katanya.

Katanya, suspek yang berasal dari Kota Samarahan itu ditahan di lokap Balai Polis Tapah dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

Remaja perempuan terbabit dilaporkan hilang oleh bapanya pada 15 Jun lalu, selepas pelajar tingkatan dua itu pergi ke sekolahnya di Matang untuk mengambil buku tugasan daripada gurunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:34 PM