GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Padawan: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan selepas didapati positif dadah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 31 tahun yang bertugas di Balai Polis Kota Sentosa dikesan positif methamphetamine dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan pada 2.35 petang tadi.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selama lebih dua tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah dan kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Aidil berkata, suspek sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:41 PM