GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Padawan: Seorang wanita warga emas lesap wang tunai sebanyak RM149,550 akibat diperdaya sindiket penipuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 60 tahun menerima mesej kira-kira 12 tengah hari mendakwa dia ada membuat pembelian barang secara dalam talian sebanyak RM2,636.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta menghubungi nombor talian kononnya pihak bank dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai John Ng.

Katanya, lelaki itu mengatakan kononnya maklumat peribadi mangsa digunakan oleh orang lain untuk mendaftar kad kredit di Kuala Lumpur dan tertunggak sebanyak RM4,778.90.

"Mangsa seterusnya diminta menghubungi nombor yang didakwa daripada Bank Negara Malaysia sebelum disuruh membeli insuran dan mangsa bersetuju.

"Mangsa kemudian ada menerima beberapa nombor kod kebenaran transaksi (TAC) dan suspek mengarahkan mangsa memberikan nombor TAC itu kepada mereka.

"Mangsa panik dan mengikuti semua arahan serta permintaan suspek dan menyerahkan nombor TAC sebelum menyedari terdapat transaksi wang keluar dari akaun Public Bank serta Maybank miliknya berjumlah RM23,850 dan RM125,700," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata mangsa yang menyedari dirinya terpedaya dan ditipu segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:12 PM