LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Menggunakan helah menabur duit RM10 dijadikan taktik empat suspek dari negara Amerika Latin mengekori mangsa yang mengeluarkan duit yang banyak di bank sebelum menyamunnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, suspek pada mulanya akan mengekori mangsa yang mengeluarkan duit yang banyak di bank sebelum memancitkan tayar kenderaan sasarannya.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya akan memberhentikan kereta sebelum suspek membuat helah menaburkan beberapa keping duit kertas RM10.

"Semasa mangsa leka mengutip duit terbabit, suspek akan membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg mangsa yang berisi duit.

"Kegiatan suspek terbongkar selepas polis menahan empat Geng Latino samun keluar bank jam 1200 tengah hari ini selepas pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kejadian samun berlaku di sebuah stesen minyak di Cheras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Jalil berkata, hasil daripada maklumat ini, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menjalankan operasi

mengesan suspek yang terbabit.

"Susulan itu, kira-kira 12.30 tengah hari, suspek dikesan di Jalan Berhala, Brickfields, sebelum sepasukan polis menghalang laluan suspek untuk menahan mereka.

"Dalam usaha menangkap suspek, mereka merempuh kenderaan pasukan dan cuba melanggar pegawai serta anggota polis beberapa kali.

"Untuk keselamatan pasukan, beberapa das tembakan dilepaskan menyebabkan suspek yang memandu terkena tembakan di badan dan kereta suspek berjaya dihentikan," katanya.

Beliau berkata, suspek berada dalam keadaan stabil yang mana hasil pemeriksaan lanjut, tangkapan dilakukan terhadap dua lelaki dan dua wanita warga asing yang berada di dalam kereta itu.

"Duit samun yang dilarikan oleh suspek berjaya ditemui semula sebanyak RM194,000," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang daripada empat warga asing yang juga suspek kes samun di hadapan sebuah bank di Cheras di sini, hari ini cedera ditembak polis.

Berita berkaitan:

  • Empat warga asing menyamun ditahan, seorang cedera
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 10:17 PM