Dzulkhairi Mukhtar (tengah) menunjukkan barang rampasan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan samun. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Dzulkhairi Mukhtar (tengah) menunjukkan barang rampasan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan samun. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun berkumpulan dengan helah menawarkan khidmat urut menggunakan aplikasi MiChat, Khamis lalu.

Suspek berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar Tanjung Kupang dekat ini, kira-kira jam 11.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang lelaki 54 tahun yang juga mangsa penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa memaklumkan dia mengenali seorang wanita menerusi aplikasi Michat yang menawarkan khidmat urut dan bersetuju mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Tanjung Kupang.

“Setibanya di sana, terdapat dua lelaki lain menunggu dan menyamun telefon bimbit serta beg duit mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan wang tunai kira-kira RM600.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk mengeluarkan wang miliknya dari sebuah bank berhampiran berjumlah RM2,000 sebelum dilepaskan oleh suspek pada jam 4 petang hari sama,” katanya dalam siang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pada hari sama polis menahan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki suspek dan pemeriksaan mendapati seorang buruh warga Pakistan berusia 24 tahun dalam kereta berkenaan.

“Warga asing terbabit turut dipercayai disamun menerusi modus operandi sama oleh suspek yang sama,” katanya.

Dzulkhairi berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu turut merampas tiga telefon bimbit, dua kad akses dan sebatang rotan, selain saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 3:55 PM