Sembilan lelaki dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berkumpul berhampiran lampu isyarat Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dan Jalan Kulim-Baling, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Sembilan lelaki dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berkumpul berhampiran lampu isyarat Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dan Jalan Kulim-Baling, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Aksi dua lelaki melaram motosikal curi mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Ambang Merdeka sekitar pekan ini, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan pertama pada 4.20 pagi, polis menahan penunggang motosikal Honda EX5 di sekitar Pekan Kulim, manakala seorang lagi penunggang motosikal ditahan di Kilometer 21 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) pada 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, dua lelaki berkenaan dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan pada tubuh mereka tidak menemui sebarang kesalahan atau barang terlarang, namun nombor casis serta enjin motosikal ditunggang dua suspek itu didapati sudah dicanai.

 Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Sazalee Adam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Sazalee Adam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Berikutan itu, kami menahan dua suspek berusia 20-an itu dan motosikal dipercayai dicuri itu dibawa ke balai untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, sembilan lelaki dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana didapati tidak memakai pelitup muka ketika berkumpul berhampiran lampu isyarat Lebuhraya BKE dan Jalan Kulim-Baling.

Sazalee berkata, semua individu berusia 16 hingga 22 tahun itu ditahan pada 6.20 pagi oleh sepasukan polis yang menjalankan operasi Pemantauan Pematuhan Op Covid-19.

"Kami harap orang ramai sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan bagi mencegah penularan kes Covid-19.

"Polis memandang serius dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun sekiranya ada individu masih berdegil dengan tidak mahu mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 5:21 PM