Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyumbang sebanyak 13.2 tan makanan haiwan sepanjang tahun ini.

Sumbangan menerusi program Mafi Prihatin bernilai RM134,000 itu diagihkan kepada Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, barangan makanan haiwan itu adalah hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang sudah melalui proses undang-undang dan dilucuthakkan.

"Bekalan makanan haiwan ini membabitkan ayam dan daging sejuk beku yang disita di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

DATUK Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (dua dari kanan) menyerahkan kotak mengandungi ayam dan daging sejuk beku kepada Wan Sani (dua dari kiri) ketika majlis serahan dibuat di sini. FOTO Siti Rohana Idris
DATUK Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (dua dari kanan) menyerahkan kotak mengandungi ayam dan daging sejuk beku kepada Wan Sani (dua dari kiri) ketika majlis serahan dibuat di sini. FOTO Siti Rohana Idris

"Ia diagihkan kepada penjara yang menjalankan projek di bawah Program Rehabilitasi Banduan selain diserahkan kepada beberapa zoo dan taman rekreasi," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Maqis, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar dan Pengarah Maqis Kelantan, Muhammad Nazrul Hizam Ab Manaf.

Terdahulu, Dr Nik Muhammad Zawawi menyerahkan enam tan hasilan haiwan dianggarkan bernilai RM60,000 kepada empat penjara dan satu pusat pemulihan akhlak (PPA).

Penjara itu adalah Jabatan Penjara Pengkalan Chepa,, Machang, Marang (Terenggganu), Penor (Pahang) dan PPA Machang.

Beliau berkata, serahan yang dibuat di Jabatan Penjara Pengkalan Chepa bagi memastikan bekalan makanan haiwan di setiap agensi atau jabatan dalam keadaan mencukupi.

"Mafi sentiasa prihatin dalam membantu setiap jabatan serta agensi yang memerlukan dan dalam masa sama penguatkuasaan di pintu masuk negara akan diperkasakan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya dagangan yang membabitkan ayam dan daging.

"Kami tidak akan berkompromi mengenai aspek halal kerana hal ini paling dititikberatkan oleh masyarakat terutama umat Islam dan kami berharap inisiatif di bawah program ini dapat membantu pihak berkaitan sekaligus terus dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang meneliti untuk menyegerakan bantuan kepada ratusan pekebun tembikai yang kerugian apabila tanaman mereka musnah disebabkan banjir, baru-baru ini.

Menurutnya, bantuan kewangan akan diberikan bersama input pertanian dan nilainya bergantung kepada peruntukan.

"Kerajaan sudah melihat perkara itu dan akan hulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan input pertanian kerana kita sedar kerugian yang ditanggung mereka agak besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 1:20 PM