PERSIDANGAN DUN Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
PERSIDANGAN DUN Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menafikan meminggir wakil rakyat pembangkang dalam soal pengagihan peruntukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan untuk kepentingan rakyat di kawasan mereka tetap disalurkan melalui Pejabat Daerah.

Katanya, kerajaan negeri juga bersikap terbuka jika ada perkara yang dimohon wakil rakyat pembangkang daripada kerajaan.

"Sebenarnya kerajaan tidak meminggirkan kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang diwakili pembangkang, kita tetap memberi peruntukan untuk kepentingan rakyat dan salurkan kepada pejabat daerah untuk dilaksanakan.

"Bagaimanapun, jika ada keperluan yang mungkin wakil rakyat pembangkang ingin memohon kepada kerajaan, kita tiada masalah menerima dan mempertimbangkan.

"Apa yang penting adalah ia untuk kepentingan rakyat. Jadi saya minta jika ada keperluan wakil rakyat pembangkang boleh memohon secara terus kepada saya," katanya pada sesi soal jawab, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan berkaitan peruntukan kepada Adun dan kawasan pembangkang yang dibangkitkan Datuk Darell Leiking (Warisan - Moyog).

Mengenai kebenaran untuk wakil rakyat pembangkang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pembangunan daerah, Hajiji berkata, perkara itu akan diperhalusi sama ada wujud keperluan untuk melaksanakannya.

Sementara itu, menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Datuk Mohd Shafie Apdal (Warisan - Senallang) mengenai langkah memudahkan penyaluran peruntukan di kawasan pembangkang, Hajiji berkata, beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) supaya setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan dimaklumkan kepada wakil rakyat.

"Kita minta SKN untuk memberi makluman kepada semua Pegawai Daerah supaya setiap peruntukan yang disalurkan sama ada oleh kerajaan persekutuan atau negeri mesti dimaklumkan kepada wakil rakyat sama ada pembangkang atau wakil rakyat kerajaan. Saya harap ini dapat diambil tindakan," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Darell mengenai jumlah peruntukan Adun kerajaan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ruddy Awah berkata, bagi tahun ini, sebanyak RM188.2 juta peruntukan khas disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:21 PM