IZANI Husin. FOTO arkib NSTP
IZANI Husin. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: "Tiada kes bunuh diri yang direkodkan di Kelantan," kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Beliau berkata, ini berikutan kesihatan mental penduduk di negeri ini dalam keadaan yang baik.

Katanya, pengurusan kesihatan mental pesakit Covid-19 dan kontak rapat mereka serta petugas semasa pandemik ini diselaraskan melalui Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental Dan Psikososial (MHPSS) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang bermula Mac tahun lalu sehingga 31 Julai lalu, seramai 44,003 tele-Psikososial yang dilakukan kepada pesakit Covid-19 dan kontak pesakit Covid-19 (PUS).

"Daripada jumlah itu, hanya 30 orang atau 0.07 peratus sahaja yang memerlukan rujukan kepada pakar psikitri dan tiada kes bunuh diri dilaporkan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (BN- Kok Lanas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjur Dr Izani (PAS- Kijang) berkata, penyakit mental ini juga banyak kategori termasuk tekanan perasaan, skizofrenia, bipolar dan sebagainya serta ada yang memerlukan ubat-ubatan.

Katanya, kerajaan negeri juga mengajak rakyat untuk sentiasa berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 10:30 AM