FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tetap disambung mengikut jadual pada 22 Ogos ini, di sebalik negara sedang dilanda krisis politik.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, buat masa ini tiada perubahan pada jadual persidangan selepas ia direhatkan selama seminggu, sejak Khamis lalu.

Katanya, langkah merehatkan Sidang DUN Johor adalah bagi membolehkan penilaian risiko kesihatan serta prosedur standard operasi (SOP) lebih ketat dilaksanakan.

"Setakat ini tiada sebarang perubahan pada jadual Sidang DUN Johor. Ia akan disambung 22 Ogos atau Ahad ini.

"Ia akan berlangsung selama empat hari sehingga 25 Ogos namun tempoh persidangan hanya mengambil masa separuh hari hingga hari terakhir sidang," katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu, Suhaizan dilaporkan mengarahkan sesi persidangan dewan supaya direhatkan selama seminggu dan bersambung pada 22 Ogos ini, ketika menangguhkan persidangan pada hari pembukaan Sidang DUN Johor yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, pula dilaporkan berkata penangguhan DUN Johor terpaksa dibuat berikutan perlunya pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden di Parlimen sebelum ini, berlaku pada sidang DUN Johor kali ini.

"Bagi mempertingkatkan lagi, pematuhan SOP, keperluan seperti pemasangan cermin lut sinar, bilangan yang boleh hadir, kaedah sebelum hadir ke dewan dan sewaktu persidangan antara yang akan diteliti dan dipatuhi," katanya.

Sementara itu, Suhaizan ketika ditanya sama ada kesemua 56 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Johor akan diletakkan dalam gelembung khas sempena sidang DUN yang bersambung minggu depan berkata, langkah itu antara yang akan dilakukan.

Katanya, ia bagi merendahkan risiko penularan wabak Covid-19 jika ADUN terpaksa kembali ke kawasan masing-masing setiap hari.

"Kesemua 56 ADUN akan diberi pilihan menginap di tempat disediakan supaya tidak perlu balik ke kawasan masing-masing sepanjang empat hari persidangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 1:11 PM