HASNI (kiri) dan Muhyiddin hadir ke pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14. FOTO Ihsan MEDKOM
HASNI (kiri) dan Muhyiddin hadir ke pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14. FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad akan membuat penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri ketika ucapan penggulungannya pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan (Dun) Johor, kali ini.

Hasni berkata, ia berkenaan penjelasan dan pendirian Umno Johor berhubung sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dijelaskan pada sesi penggulungannya itu.

"Saya berpendapat berkaitan dengan persoalan keabsahan Perdana Menteri dari sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu sebagaimana yang saya nyatakan lebih awal akan diperjelaskan melalui dewan ini.

"Jadi ia (penjelasan) akan dibuat semasa ucapan penggulungan saya nanti.

"Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan kita perlu nyatakan pendirian kita dengan jelas.

"Saya percaya bahawa jika kita meletakkan kepentingan rakyat, kita tidak akan hadapi kesukaran untuk buat satu pendirian," katanya pada sidang media selepas acara pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dun Johor ke-14, hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut dilaporkan berkata, Sidang DUN Johor hari ini, akan menentukan keabsahan kerajaan negeri sekarang.

Hasni dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan politik semasa dan perkara itu akan dibangkitkan serta dibincang pada sidang Dun.

Minggu lalu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mendesak Umno negeri menyatakan pendirian terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Ia susulan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos lalu, dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Terdapat 56 kerusi di Dun Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan Dap masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 1:17 PM