SUHAIZAN Kaiat. FOTO arkib NSTP
SUHAIZAN Kaiat. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) disahkan positif Covid-19 manakala tiga lagi Adun diarahkan menjalani kuarantin.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, pengesahan itu diperoleh selepas pengurusan DUN memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Katanya, semua Adun serta wakil media yang hadir ke Bangunan Sultan Ismail bagi persidangan diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) setiap hari sehingga persidangan berakhir.

"Adun Tenggaroh, K Raven disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu ketika menjalani ujian saringan.

"Tiga lagi Adun iaitu Johor Lama, Rosleili Jahari, Adun Tangkak, Ee Chin Li dan Adun Senai, Tee Boon Tsong pula diarahkan menjalani kuarantin.

"Rosleili dan Boon Tsong diarahkan menjalani kuarantin dua hari berikutan menjadi kontak rapat manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan yang berakhir Rabu ini" katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, media melaporkan kesemua 56 Adun Johor diwajibkan menjalani ujian saringan RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN Johor yang bersambung semula pada 22 Ogos .

Suhaizan dilaporkan berkata, SOP berkenaan disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan berlaku di Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan dewan persidangan.

Sementara itu, Suhaizan berkata, hanya dua ahli dewan yang tidak hadir pada sesi persidangan hari ini namun sudah memaklumkan ketidakhadiran mereka.

"Dua ahli dewan berkenaan ialah Adun Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Adun Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 3:00 PM