SUHAIZAN. FOTO arkib NSTP
SUHAIZAN. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan menetapkan tarikh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang seterusnya.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, itu adalah titah nasihat baginda ketika beliau mengadap Sultan Johor pagi tadi bagi mempersembahkan perkembangan DUN Johor termasuk isu Sidang Khas DUN Johor.

Katanya, penetapan tarikh Persidangan DUN Johor oleh baginda itu sesuai dan termaktub dalam Bahagian Kedua Fasal 23 Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

“Dalam pertemuan bersama Sultan Johor pagi tadi, baginda turut menasihatkan Persidangan DUN Johor yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh sidang terdahulu iaitu pada 21 November hingga 1 Disember 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Pakatan Harapan (PH) Johor dilaporkan menyerahkan surat permohonan Sidang Khas DUN diadakan kepada Suhaizan.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata surat permohonan berkenaan dihantar bagi membolehkan kesahihan sokongan majoriti yang didakwa diperoleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad disahkan.

“PH Johor bukan mempertikai apa lagi menderhaka kepada keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar namun hanya mahu bukti dan pengesahan sokongan majoriti didakwa diterima Menteri Besar,” katanya.

Berita berkaitan

PH Johor mohon Sidang Khas DUN [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:24 PM