KESEMUA 56 Adun Johor hadir ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dun Johor ke-14, hari ini. FOTO ihsan Medkom
KESEMUA 56 Adun Johor hadir ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dun Johor ke-14, hari ini. FOTO ihsan Medkom
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Suhaizan Kaiat mengarahkan sesi persidangan dewan supaya direhatkan selama seminggu dan bersambung pada 22 Ogos depan.

Suhaizan berkata, ia bagi membolehkan penilaian risiko kesihatan dibuat selain prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di dewan berkenaan.

"Saya dengan ini memutuskan supaya Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dun Johor ke-14 yang sepatutnya bersambung pada Ahad depan iaitu 15 Ogos ini, ditunda kepada 22 Ogos.

"Ia bagi membolehkan penilaian risiko kesihatan selain nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) diambil kira dengan pelaksanaan SOP lebih ketat," katanya ketika menangguhkan persidangan hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, penangguhan Dun Johor terpaksa dibuat berikutan perlunya pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden di Parlimen sebelum ini, berlaku pada sidang Dun Johor kali ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu perkara yang berlaku di Parlimen terjadi pada sidang Dun pula, baharu separuh jalan sudah ditangguhkan kerana terdapat kes-kes jangkitan Covid-19 di sana.

"Pada waktu ini, Speaker sedang memperhalusi SOP yang ditetapkan membabitkan tempoh berapa hari dewan bersidang dan tempoh berapa lama sesi persidangan akan diadakan. Perkara ini akan dibincangkan dengan KKM," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, bagi memastikan keselamatan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor, kerajaan negeri akan membentuk gelembung pergerakan dengan memastikan kesemua Adun berada di sebuah lokasi yang selamat.

"Kerajaan negeri akan bentuk satu gelembung pergerakan Adun, mereka ini akan berada di lokasi yang lebih selamat daripada sebarang kemungkinan dan tidak rapat dengan mana-mana pihak bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19, ketika persidangan berlangsung.

"Bagi mempertingkatkan lagi, pematuhan SOP, keperluan seperti pemasangan cermin lut sinar, bilangan yang boleh hadir, kaedah sebelum hadir ke dewan dan sewaktu persidangan antara yang akan diteliti dan dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 12:28 PM