Mendiang Koperal J Vimel.
Mendiang Koperal J Vimel.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang anggota polis cawangan khas yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas maut sejurus kereta dipandu terbabas merempuh tebing dan tiang elektrik.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi tadi, mangsa, Koperal J Vimel, 34, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jempol maut serta merta di lokasi kejadian di Kilometer 9, Jalan Bahau - Kemayan di sini.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke IPD Jempol.

Setibanya di lokasi kereta Proton Persona dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tebing serta tiang elektrik .

Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak dan sudah berkeluarga meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Che Zakaria Othman dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK ) berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang daripada bertugas.

Katanya, polis akan menguruskan penghantaran pulang jenazah mangsa ke Sarawak secepat mungkin bersama isteri dan anaknya.

"Segala bantuan kebajikan termasuk pengebumian akan diuruskan oleh PDRM.

"Mendiang sudah lapan tahun berkhidmat bersama polis. Kejadian tiada unsur jenayah namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Jeram Padang Datuk L Manickam turut melawat keluarga mendiang di Kuarters Balai Polis Ayer Hitam pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:21 PM