Bahau: Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca kemalangan yang mengorbankan tiga anggota tentera dari Rejimen ke-31 Artileri Diraja Pangkalan Udara Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh berhampiran Kampung Kuala Jempol, dekat sini, turut menyebabkan dua wanita cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, kereta Proton Saga BLM dinaiki kelima-lima mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan pembetung saluran paip Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang daripada wanita terbabit terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang tiang elektrik dan pembetung terletak kira-kira 25 meter dari tiang elektrik berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:24 AM