ANGGOTA APMM Pahang melakukan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Kuantan pada 8 Ogos lalu. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM Pahang melakukan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Kuantan pada 8 Ogos lalu. FOTO Ihsan APMM
Asrol Awang

Kuantan: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng di sini, pada 8 Ogos lalu, diteruskan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, operasi memasuki hari ketiga itu membabitkan dua aset maritim.

Beliau berkata, keluasan sektor pencarian di laut terbahagi kepada dua sektor merangkumi 119.4 batu nautika persegi.

"Sehingga 11 pagi hari ini, kami belum menemui sebarang tanda dan petunjuk berkaitan mangsa.

"Hebahan kepada nelayan dan komuniti maritim setempat dilaksanakan dalam membantu operasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan laporan, mangsa, Ishak Muda, 57 bersama 16 rakannya keluar ke laut dengan menaiki bot pukat jerut, pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mangsa hanya disedari tekong selepas tiba di jeti Kompleks Kemunting di sini, pada 9 Ogos lalu.

Usaha mencari mangsa di jeti serta daratan dilakukan rakannya, namun mangsa gagal ditemui.

Mangsa yang kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju itu dipercayai terjatuh ke dalam laut di lokasi penangkapan ikan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:16 PM