BOMBA membantu membawa mayat mangsa untuk dibawa ke darat. FOTO Ihsan APMM
BOMBA membantu membawa mayat mangsa untuk dibawa ke darat. FOTO Ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Seorang kru meninggal dunia, tiga lagi cedera akibat kebocoran gas ammonia di kapal dagang dari Turki, MV Hamburg DW di perairan negeri ini, tengah malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihak berkenaan kemudian memaklumkannya kepada APMM Selangor untuk tindakan lanjut.

"MRSC Johor Bahru menerima permohonan bantuan memindahkan mangsa ke darat bagi tujuan rawatan dari kapal MV Hamburg DW pada jam 12.19 tengah malam tadi dan menghubungi pihak kami.

"APMM Selangor dimaklumkan seorang kru kapal meninggal dunia terhidu gas ammonia, manakala tiga lagi kru cedera akibat melecur dipercayai akibat kebocoran gas amonia di kapal itu di barat daya Pulau Selat Kering, dekat Pulau Indah.

"Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagainya Kara Turkut (warga Turki), manakala mangsa cedera adalah Yadav Byasmuni (warga India), Bayri Emre (warga Turki) dan Dagli Murat (warga Turki)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu katanya, APMM Selangor menugaskan KM Danga bersama-sama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ke lokasi.

"APMM Selangor dengan kerjasama HAZMAT JBPM Selangor ke lokasi kejadian dan kini berada di sana.

"Pihak perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimaklumkan bagi bantuan ambulans dan kenderaan membawa mayat mangsa," katanya.

Mohammad Rosli berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:27 AM