Kakak mangsa, Noraini membuat pengecaman di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang, Indonesia pagi tadi. Foto Ihsan Maritim Malaysia
Kakak mangsa, Noraini membuat pengecaman di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang, Indonesia pagi tadi. Foto Ihsan Maritim Malaysia
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Selepas lapan hari dilaporkan hilang di perairan Pulau Pemanggil, mayat Muhamad Sufian Alwi, 32, ditemui terdampar di Pulau Bintan, Indonesia.

Mayat Muhamad Sufian yang pada hari kejadian sedang menarik pukat ditemukan pada 15 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mayat mangsa dihanyutkan sejauh 86.3 batu nautika (160 kilometer) daripada lokasi kejadian.

Menurutnya, kakak mangsa iaitu Noraini sudah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah adiknya di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang, pagi tadi.

"Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) mengenai penemuan tersebut

"Mayat itu disyaki kru bot nelayan yang jatuh laut di Pulau Pemanggil pada 8 Mac lalu berdasarkan pakaian.

"MRSC Johor Bahru membantu pengurusan bagi membawa ahli keluarga mangsa ke Pulau Bintan bagi proses pengecaman dan pengesahan mayat

"Pihak MRSC Johor Bahru menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), POLRES Bintan, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru dan semua pihak yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 3:16 PM