Mayat dipercayai seorang penyelam ditemukan terapung di kedudukan 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar. FOTO Ihsan APMM Selangor
Mayat dipercayai seorang penyelam ditemukan terapung di kedudukan 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar. FOTO Ihsan APMM Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Mayat dipercayai seorang penyelam yang dilaporkan hilang ketika menyelam untuk mengikat tali pada sebuah bot, 3 Ogos lalu, ditemukan terapung di perairan Sungai Besar, di sini, petang semalam.

Mayat berpakaian lengkap dengan peralatan skuba berserta balang udara itu ditemukan nelayan tempatan pada kedudukan 8.7 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar, pada 3 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan nelayan terbabit kepada pihaknya.

"Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bersama bot Pasukan Polis Marin (PPM) bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan.

"Mayat kemudian ditemukan kira-kira 6 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PERALATAN skuba yang ditemukan pada mayat yang ditemukan. FOTO Ihsan APMM Selangor
PERALATAN skuba yang ditemukan pada mayat yang ditemukan. FOTO Ihsan APMM Selangor

Beliau berkata, PPM membawa mayat ke Jeti Nelayan Sungai Besar pada 9 malam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk proses pengecaman.

Katanya, penemuan itu dipercayai ada kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar, 3 Ogos lalu.

Terdahulu, media melaporkan Calvin Patrick Lazaroo, 27, dikatakan menyelam bersama tiga rakannya untuk menarik bot sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.

Kehilangan mangsa disedari rakannya yang bertindak melakukan usaha pencarian di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, pencarian selama empat jam itu gagal menyebabkan mereka menghubungi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bharu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 10:38 AM