OPERASI carilamat dijalankan APMM di perairan Batu Putih di sini. FOTO ihsan APMM
OPERASI carilamat dijalankan APMM di perairan Batu Putih di sini. FOTO ihsan APMM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Operasi carilamat dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Batu Putih di sini, semalam susulan maklumat palsu berhubung bot membawa 10 penumpang karam membabitkan kos bahan bakar RM20,000.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, secara keseluruhan sebanyak empat aset terbabit dalam operasi itu.

Beliau berkata, ia termasuk tiga bot dan sebuah kapal yang digunakan selepas menerima maklumat berkaitan kejadian bot karam.

Menurutnya, pihaknya masih dalam proses mengesan individu yang membuat panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kejadian bot karam.

"Kejadian umpama ini berlaku pertama kali. APMM masih belum kenal pasti individu yang membuat panggilan kecemasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, dilaporkan APMM menamatkan operasi carilamat bagi mengesan mangsa bot karam dalam kejadian yang didakwa berlaku di perairan Batu Putih pada awal pagi semalam selepas tiada sebarang bukti kejadian ditemukan.

APMM juga tidak menolak kemungkinan panggilan yang diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru adalah panggilan palsu.

Berdasar panggilan itu, bot membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan karam pada kedudukan 9.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di sini.

Sehingga jam 7.30 petang semalam tiada sebarang penemuan atau bukti berlakunya kejadian bot karam di kawasan pemantauan dan pencarian seluas 26.52 batu nautika persegi.

Pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga tidak melaporkan sebarang kejadian bot karam seperti yang diterima MRSC Johor Bahru.

#kw APMM, operasi, cari, bot, karam, palsu, Batu Putih, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:54 PM