Muhammad Zulsyamini Sufian

Ipoh: Bekas ketua kampung didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang wanita bergelar Datuk berhubung sumbangan dari kerajaan negeri bagi pembinaan surau baharu berjumlah RM350,000, empat tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru menjatuhi hukuman itu terhadap Zulkifle Othman, 59, selepas mendapati tertuduh bersalah di akhir kes pembelaan mengikut pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya iaitu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK).

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, Zulkifle yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak di daerah Muallim didakwa memperdayakan Datuk Rusnah Kassim.

Rusnah diperdayakan sehingga didorong untuk memohon sumbangan berjumlah RM350,000 daripada Pejabat Menteri Besar Perak supaya pengeluaran cek dengan nilai berkenaan diluluskan bagi tujuan pembinaan surau baharu di tapak surau lama Kampung Kubu di Tanjung Malim pada 15 Mac 2017.

Permohonan sumbangan itu diluluskan dan sudah dimasukkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 08068020674681 atas nama penerima JKKK Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubok Salak yang mana kerja-kerja pembinaan surau baharu yang dimaksudkan itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

ZULKIFLE ketika di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
ZULKIFLE ketika di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 409 KK yang turut dibacakan hari ini bagi kesalahan pecah amanah.

Berdasarkan pertuduhan itu, dia selaku Pengerusi JKKK Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak didakwa melakukan pecah amanah iaitu dengan curang mengeluarkan sebahagian daripada wang sumbangan berjumlah RM350,000 yang seharusnya bagi tujuan membina surau di Kampung Kubu, Tanjung Malim.

Pengeluaran wang berjumlah RM106,000 dilakukan oleh tertuduh dengan cara transaksi pemindahan wang ke akaun milik Jati Resources bagi kegunaan sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dengan tertuduh diwakili peguam Hisham Nazir.

Bagaimanapun bagi pertuduhan pecah amanah itu serta satu lagi pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh pada awal tahun lalu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas menerima tawaran oleh pihak pendakwaan.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Selain itu, Indra Nehru turut menetapkan pelucutan hak milik tertuduh kepada Kerajaan Malaysia yang merangkumi wang simpanan berjumlah RM203,686.45; sebuah kereta Honda Civic bernilai RM33,500; dan sebuah komputer riba model Lenovo Ideapad 2460.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Pada 14 Januari tahun lalu, media melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana menyeleweng dana sumbangan pembinaan surau berjumlah lebih RM350,000 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 1:49 PM