GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Alias Abd Rani


Muar: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membelasah seorang remaja kerana enggan menyertai satu kumpulan kongsi gelap, Khamis lalu.

Tertuduh, Tan Siau Fu, 28, dan Cheong Jian Wei, 18, masing-masing dikenakan dua dan satu pertuduhan, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Norfarah Syahidah Mohd Noh.

Siau Fu berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan terhadap Low Fu Yuan, 17, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 45 (1) Akta Pertubuhan 1946 pula, dia boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya manakala Jian Wei hanya didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama iaitu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama.

Selepas mengambil kira pengakuan kedua-dua tertuduh, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM4,000 terhadap Siau Fu bagi kedua-dua pertuduhan sementara denda RM2,800 untuk Jian Wei.

Mahkamah juga memerintahkan Siau Fu dan Jian Wei dipenjara lapan dan sembilan bulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohammad Zuwairi Md Noor manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, kedua-dua tertuduh didakwa memaksa mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap dengan semua kejadian berlaku di sebuah rumah ibadat di Jalan Bakri di sini, jam 6.30 petang, 12 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti arahan tertuduh sebelum dibelasah menggunakan tangan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan lebam dibadan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:24 PM