FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Khidir Zakaria


PENJUAL ikan terpaksa meringkuk dalam penjara lapan bulan selepas gagal membayar denda dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan membantu menyembunyikan wang, tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh, Mohd Rizal A Kadir, 38, dijatuhi hukuman denda RM7,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Tan Chai Wei selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membantu menyembunyikan wang RM26,000 yang dimasukkan oleh Tien Lan Chen, 45, ke akaun Maybank milik tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Tampin di sini, antara jam 3.20 petang hingga 3.51 petang pada 8 November 2019.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fuad Ramlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:01 PM