GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Sarawak tidak membenarkan ibadah korban dan ziarah sempena sambutan Aidiladha ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataannya berkata turut tidak dibenarkan adalah takbir dari rumah ke rumah, tahlil dan jamuan selepas solat sunat Aidiladha di masjid atau surau serta ziarah kubur.

"Keputusan ini berdasarkan situasi wabak Covid-19 semasa dan peningkatan kes membabitkan varian yang membimbangkan di Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, bagi solat sunat Aidiladha, had jemaah ditetapkan tidak melebihi 500 individu di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

"Manakala 150 individu di masjid bahagian, daerah, daerah kecil atau kariah serta tidak melebihi 70 orang di surau.

"Bagi zon atau kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat sunat Aidiladha dan takbir tidak dibenarkan di masjid dan surau.

"Namun ia boleh dilaksanakan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga sahaja," katanya.

MIS menegaskan semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi sebagaimana yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 5:20 PM