SULAIMAN meninjau pendaftaran penerima vaksin pada Program Kebajikan Vaksinasi COVID-19 DUN Kuala Linggi di Dewan JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah semalam. FOTO Hassan Omar
SULAIMAN meninjau pendaftaran penerima vaksin pada Program Kebajikan Vaksinasi COVID-19 DUN Kuala Linggi di Dewan JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah semalam. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Elaun Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) 1,707 penjawat awam di negeri ini dipotong selama tiga bulan, mulai bulan ini bagi membantu rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pemotongan itu membabitkan penjawat awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri dari Gred 29 ke atas.

"Pemotongan elaun itu menyumbang RM78,000 kepada kerajaan negeri dan saya ucapkan tahniah kepada mereka," katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam secara dalam talian hari ini.

Sulaiman bagaimanapun tidak menyatakan jumlah peratus pemotongan elaun berkenaan.

Katanya, langkah berkenaan adalah pelengkap usaha memotong gaji beliau dan EXCO sebanyak 10 peratus mulai Januari lalu hingga Disember depan yang menyumbangkan RM102,000 kepada kerajaan negeri.

"Pemotongan elaun dan gaji itu disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Tabung Bantuan Bencana Negeri Melaka bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Sulaiman juga berkata, seramai 14,660 rakyat negeri ini bakal disuntik sehari dalam usaha mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia meningkat hampir 50 peratus berbanding 7,800 orang sehari pada 18 Jun lalu, sekali gus merealisasikan matlamat mencapai imuniti kelompok 80 peratus, katanya.

Untuk tujuan itu, 72 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah beroperasi, membabitkan 15 PPV awam, selain PPV hospital awam (3), PPV 'General Practitioner' (PPVGP) (46), PPV Hospital Swasta (4) dan PPV swasta, iaitu Encore (1).

Bagi mengekang peningkatan kluster kilang, kerajaan negeri turut membuka tiga PPV Industri, iaitu di Texas Instruments, Infineon dan Bayou Lagoon.

Sulaiman juga berkata, seramai 223 petugas kesihatan di negeri ini dijangkiti Covid-19 sejak Mac 2020 hingga 7 Julai lalu, membabitkan 2.7 peratus daripada 8,280 petugas barisan hadapan tetapi tiada kes kematian dicatatkan setakat ini.

Mengenai operasi kilang, sebanyak 28 kilang sudah diarahkan ditutup sementara secara pentadbiran mengikut Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ini kerana pekerja kilang berkenaan positif Covid-19 dan majikan sudah diarahkan melakukan ujian saringan bersasar secara besar-besaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:56 PM