Hairulazim Mahmud


“SEBAGAI Menteri Kewangan, saya menyokong semua langkah penjimatan yang dibuat atau yang dicadangkan termasuk pemotongan elaun menteri,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, katanya, cadangan memotong elaun anggota Kabinet tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri.

Beliau percaya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutupFestival Putrajaya LIFT (Celik Teknologi Kewangan) 2019 di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas cadangan dan persetujuan beberapa menteri yang menyokong syor untuk elaun menteri dan ahli politik dalam usaha kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan lebih berhemah.

LIM Guan Eng. FOTO Luqman Hakim Zubir
LIM Guan Eng. FOTO Luqman Hakim Zubir

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan memotong elaun berkenaan berikutan kontroversi membabitkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada penjawat awam terutama doktor, ahli farmasi dan jururawat.

Terdahulu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Disember menyatakan BIPK bagi penjawat awam membabitkian 33 Skim Perkhidmatan Kritikal akan dimansuhkan bagi pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis berkenaan, Lim berkata, Cybersecurity Malaysia menyatakan 7,092 kes penipuan digital dilaporkan untuk 11 bulan pertama pada tahun ini.

Katanya, jumlah berkenaan sudah melebihi bilangan laporan untuk sepanjang tahun 2018 dengan 5,123 kes penipuan digital dilaporkan.

“Bilangan kes ini belum lagi mengambil kira bahawa bukan semua penipuan digital dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 6:48 PM