SULAIMAN memerhatikan wanita warga emas menerima suntikan vaksin COVID-19. FOTO Hassan Omar
SULAIMAN memerhatikan wanita warga emas menerima suntikan vaksin COVID-19. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Secara keseluruhan, Melaka mencatatkan pemberian 159,159 dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, dengan kira-kira 100,000 daripadanya membabitkan dos pertama.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia kadar yang memuaskan memandangkan kerajaan negeri meletakkan sasaran 74 peratus rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin.

"Sebahagian besar daripada penerima suntikan vaksin ini adalah individu yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Alhamdulillah, 159,159 dos sudah disuntik.

"Saya berharap pemberian vaksin ini berjalan lancar di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri," katanya ketika ditemui meninjau operasi PPV Sungai Udang di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, Tanjung Kling di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman, EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang Datuk Idris Haron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Datuk Dr Ismail Ali.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri berharap rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin mengikut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Saya minta orang ramai supaya memenuhi janji temu yang ditetapkan bagi mengelakkan kesukaran dan kelewatan penerimaan vaksin pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, usaha menghubungi penerima vaksin bagi mengingatkan mereka mengenai janji temu seperti yang dilakukan sukarelawan Masjid Tanah di PPV Masjid Tanah harus dicontohi sukarelawan di tempat lain.

Sementara itu, Rahmad berkata, kerajaan negeri sudah bersetuju untuk mewujudkan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dengan PPV Dewan Tun Ali di Bukit Katil sebagai lokasi pertama pelaksanaannya.

"Bagaimanapun, kaedah itu hanya membabitkan penerima bagi dos kedua.

"JKNM dalam proses akhir penilaian bagi melaksanakan pemberian vaksin secara pandu lalu dan dijangka mampu dilaksanakan tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:46 PM