GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pelaksanaan ibadah korban di Kelantan dibenarkan dengan garis panduan ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, proses penyembelihan haiwan korban dibenarkan dilaksanakan di rumah sembelih ruminan (Kompleks Abatoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.

Katanya, proses sembelihan juga dibenarkan di masjid bandar, jajahan dan mukim dengan kelulusan MAIK.

"Bilangan petugas bagi sembelihan seekor ruminan besar (lembu atau kerbau) tidak melebihi 10 orang manakala ruminan kecil (kambing atau bebiri) tidak melebihi lima orang.

"Peserta ibadah korban tidak dibenarkan hadir dan mereka hanya perlu mewakilkan kepada penganjur bagi menyempurnakan akad dan wakalah.

"Selain itu, kanak-kanak 15 tahun ke bawah, petugas berusia 70 tahun ke atas, pesakit berisiko tinggi dan kronik seperti strok, darah tinggi, obesiti, kencing manis, sakit jantung dan lain-lain tidak dibenarkan hadir," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, individu dalam tempoh kuarantin akibat Covid-19, yang mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celcius ke atas atau yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti dan perlu dirujuk kepada klinik kesihatan berdekatan.

Katanya, kebenaran itu berdasarkan hasil Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) kelmarin yang dihadiri Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Kerajaan Negeri, JPV dan Polis DirajaMalaysia.

"Agihan daging korban oleh petugas dilakukan secara langsung kepada peserta dengan jumlah kehadirandan masa ditentukan penganjurtertakluk kepada keluasan kawasan.

"Aktiviti korban persendirian atau keluarga, lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan. Majlis atau jamuan selepas ibadah korban tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berharap semua pihak yang terbabit patuh dalam pelaksanaan garis panduan ibadah korban itu.

"Insya-Allah ianya akan dapatmengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 11:32 AM