Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Sudahlah terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu kepada enam anak terus diuji apabila suami yang menjadi tempat bergantung harapan kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak Mac lalu.

Norazimah Abdul Aziz, 45, dari Mukim Dua, Jalan Teluk Bahang, di sini, berkata suaminya Shukor Hassan, 52, sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi sebelum beralih kepada pemandu e-hailing dan membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sendiri selama 20 tahun.

Katanya, dugaan menimpa keluarganya apabila Shukor tiba-tiba diserang angin ahmar selepas pulang menunaikan solat Isyak di masjid menyebabkannya lumpuh separuh badan di bahagian kanannya.

"Sejak itu saya berniaga kecil-kecilan dengan menjual kuih bagi menjana pendapatan keluarga selain dibantu anak sulung berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Shukor Hassan, 52 tahun menerima peralatan pemulihan dan sumbangan kotak prihatin daripada Perkeso ketika beliau diserang angin ahmar selepas jatuh dari motosikal pada Mac yang lalu  di Mukim 2, Jalan Teluk Bahang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Shukor Hassan, 52 tahun menerima peralatan pemulihan dan sumbangan kotak prihatin daripada Perkeso ketika beliau diserang angin ahmar selepas jatuh dari motosikal pada Mac yang lalu di Mukim 2, Jalan Teluk Bahang hari ini. FOTO MIKAIL ONG

"Agak sukar berikutan kekangan PKP, namun saya berusaha bagi mencari pendapatan untuk melunaskan bil utiliti selain menanggung pengajian anak ketiga," katanya.

Norazimah berkata demikian apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim mengunjungi Shukor menerusi Program Penyampaian Peralatan Pemulihan dan Sumbangan Kotak Prihatin kepada Orang Berinsurans Sendiri (OBS) di sini, hari ini.

Sementara itu, Awang berkata, Shukor adalah antara OBS yang sedang dalam proses permohonan bagi mendapatkan pencen ilat.

"Permohonan Shukor ditangguhkan sementara berikutan PKP, namun Perkeso memberi bantuan awal termasuk kerusi roda bagi kemudahannya.

"Kita berharap lebih ramai individu yang bekerja sendiri dapat mencarum menerusi skim OBS dan ia akan turut dipromosikan dalam kalangan nelayan, di sini.

Untuk rekod, setakat ini terdapat seramai 165,271 OBS yang berdaftar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:04 PM