Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Zuliaty Zulkiffli


“ISTERI nak sangat jumpa bayi lelaki kami tetapi tak boleh sebab keadaannya tenat selepas disahkan menghidap tibi dan pendarahan usus menyebabkan hatinya bengkak.

“Bagaimanapun kami reda apabila isteri menghembuskan nafas terakhir 5.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” kata Mohd Shahrizal Hashim, 30.

Isterinya, Norazimah Ahmad, 31, menderita penyakit misteri yang tidak diketahui sebelum ini menyebabkan berat badannya susut hingga 44 kilogram akibat hilang selera makan manakala perutnya busung seperti wanita hamil tiga bulan.

Kisahnya pernah disiarkan dalam Harian Metro sebelum ini sehingga mendapat simpati daripada pembaca yang menghulurkan sumbangan sehingga mencecah RM16,000.

Norazimah dikesan menghidap penyakit itu selepas melahirkan anak tunggalnya Arjuna Mikael Mohd Shahrizal, tiga bulan dan hanya sempat bersama bayinya beberapa hari sebelum dimasukkan ke wad HSB.

Berikutan itu, suaminya, Mohd Shahrizal yang sebelum ini hanya bekerja sebagai peniaga ayam goreng tidak dapat bekerja selama dua bulan kerana menjaga isterinya.

Menurut Mohd Shahrizal, keadaan isterinya semakin kritikal sejak beberapa hari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HSB kerana koma.

“Semalam saya sempat berbual dengannya 1 pagi namun dia mendengar apa yang saya cakap kerana nampak air matanya berlinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jenazah Norazimah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kechai, Kuala Kedah hari ini.

Mohd Shahrizal berkata, wang sumbangan pembaca Harian Metro digunakan sepenuhnya untuk membiayai segala kos rawatan isterinya sepanjang 25 hari dirawat di HSB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:07 PM