Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Seramai lima penghuni sempat lari menyelamatkan diri sejurus kediaman dua tingkat di Lorong Dua Sungai Kajang Lama, di sini, terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan 24 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat dan terdapat lima penghuni di dalamnya membabitkan seorang lelaki dan empat wanita.

ANGGOTA bomba memeriksa keadaan rumah dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Lorong Dua Sungai Kajang Lama, hari ini. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba memeriksa keadaan rumah dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Lorong Dua Sungai Kajang Lama, hari ini. FOTO ihsan BOMBA

"Mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri serta tidak mengalami kecederaan," katanya tadi.

Norazam berkata, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada jam 9.34 pagi.

"Kebakaran itu mengakibatkan rumah berkenaan musnah 50 peratus. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:13 PM