Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Saya bersyukur anak berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran berkenaan, ketika kejadian saya berada di PPV untuk menerima suntikan vaksin, " kata Noriah Misnan, 33, mangsa kebakaran membabitkan tujuh rumah di Taman Sri Tanjong, di sini, pagi semalam.

Noriah berkata, ketika kejadian pada 10 pagi, dia berada di PPV Institut Pengurusan Peladang (IPP) untuk menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19, manakala lima anaknya berusia lima hingga 14 tahun sedang tidur di rumah.

Menurutnya, dia dihubungi oleh adik perempuan memaklumkan bilik tingkat atas rumahnya terbakar sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Saya hanya memikirkan keselamatan anak sepanjang perjalanan. Sebaik tiba, saya lihat mereka sudah berada di luar rumah.

"Ketika kebakaran, anak kedua, Mya Qalesya Mohd Hasman, 12, mengejutkan adiknya. Kemudian, jiran terdekat membawa mereka keluar menyelamatkan diri.

"Kalau dia (jiran) tak ada waktu itu, tidak tahu bagaimana nasib mereka," katanya ketika ditemui pada kunjungan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, hari ini.

Kata Noriah, ketika kejadian suaminya, Mohd Hasman Moh Kadar, 41, berada di Kedah kerana bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, dia bersyukur seluruh ahli keluarganya terselamat namun terkilan katil dan tilam musnah dalam kejadian selain peralatan elektrik tidak dapat digunakan sama sekali.

"Memang terkejut dan sedih...tidak sangka kami diuji dengan kejadian ini," katanya yang menyewa rumah itu sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji yang menyarankan mangsa kebakaran dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Datuk Hormat.

"Alhamdulillah, apabila saya berjumpa dengan mereka dan memberi penerangan, mereka bersetuju dipindahkan ke penempatan sementara dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:56 PM