KEMALANGAN membabitkan dua motosikal di Jalan Padang Kala, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, dekat Peringat. FOTO Ihsan pembaca
KEMALANGAN membabitkan dua motosikal di Jalan Padang Kala, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, dekat Peringat. FOTO Ihsan pembaca
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis maut dalam kemalangan di Jalan Padang Kala, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, dekat Peringat di sini, hari ini.

Kejadian jam 1 tengahari itu menyebabkan mangsa, Sarjan Zulkifli Ab Rahman, 58, dan Mohd Muslimin Mat Sin, 32, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan berlaku apabila Mohd Muslimin yang menunggang motosikal Honda EX-5 dipercayai datang dari arah bertentangan, secara tiba-tiba membuat pusingan U untuk balik ke rumahnya di Kampung Jambu Merah.

Katanya, akibat jarak yang terlalu hampir, anggota polis yang menunggang motosikal Jenis Kawasaki Versys 650 dalam perjalanan dari arah Peringat menghala ke Melor untuk pulang ke rumahnya di Pasir Puteh, tidak sempat mengelak dan berlaku pertembungan.

"Kedua-dua mangsa dan kenderaan jatuh di tempat kejadian. Akibat kemalangan itu, kedua-duanya parah di bahagian muka, kepala dan dada serta tidak sedarkan diri

"Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh penolong pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.

"Kita minta saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis untuk membantu siasatan berhubung dengan kemalangan ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:46 PM