KEADAAN motosikal mangsa.
KEADAAN motosikal mangsa.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bonggol baru dibina dipercayai menyebabkan seorang penunggang motosikal hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan sebuah sekolah di Kampung Tiong di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, Wan Mohamad Firman Wan Yunus, 19, yang menunggang Honda Wave maut di tempat kejadian kerana parah di kepala manakala pemandu kereta Proton Iswara pula tidak cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh menghala ke Pasir Tumbuh untuk pulang ke rumahnya di Peringat.

Menurutnya, pemandu kereta dikatakan cuba memperlahankan kenderaannya kerana ada bonggol baru yang dibina di lokasi itu.

“Pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan kereta.

“Pemandu kereta tidak sempat memberhentikan kenderaannya kerana jarak terlalu dekat sebelum dia terlanggar motosikal mangsa yang menyebabkan lelaki itu tercampak ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Tok Borat Parit Limbat, Pasir Tumbuh parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:37 AM