Anggota bomba berusaha membawa keluar mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha membawa keluar mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim


TIGA termasuk dua beranak parah selepas trak tunda dinaiki melanggar bahagian belakang treler yang membawa muatan besi di Kilometer 399.9 Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim jam 3.40 pagi hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu trak tunda yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dan membawa kereta milik dua beranak itu gagal mengelak treler di hadapannya lalu melanggarnya.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Abdul Jamil Mowclause berkata, bomba menerima panggilan jam 3.44 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi.

"Dua mangsa itu adalah bapa berusia 40-an dan anak perempuannya berusia 20-an serta pemandu trak tunda.

"Difahamkan kereta mereka rosak dan ditunda sebelum terbabit kemalangan di lokasi.

"Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit," katanya.

Beliau berkata, kecederaan dua beranak itu agak serius kerana tersepit sementara pemandu trak tunda itu patah kaki kiri.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Hospital Slim River, Perak untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 12:45 PM