KEADAAN pacuan empat roda dinaiki Mohd Izham  yang terbabit kemalangan, kelmarin.
KEADAAN pacuan empat roda dinaiki Mohd Izham yang terbabit kemalangan, kelmarin.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang juruteknik syarikat telekomunikasi maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama dua lagi rakan sekerja terbabit dalam kemalangan di Kilometer 216.7, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, lewat petang kelmarin.

Mohd Izham Sulaiman, 26, berasal dari Rusila, Marang, Terengganu maut di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala manakala dua rakannya iaitu pemandu pacuan empat roda Muhammad Syafiq Mohammad Jalani, 27, dan seorang lagi penumpang Mohd Faizul Rizal Mohd Zohdi, 31, patah kaki.

Difahamkan dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa bersama Muhammad Syafiq dari Masai, Johor dan Mohd Faizul Rizal dari Temerloh, Pahang, menaiki pacuan empat roda milik syarikat telekomunikasi mereka bekerja dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, sejurus tiba di lokasi, kenderaan dipandu Muhammad Syafiq dipercayai hilang kawalan akibat melanggar lopak air sebelum terbabas ke tebing dan melanggar pokok serta berpusing beberapa kali.

“Difahamkan, ketika kejadian jalan basah menyebabkan kenderaan itu berpusing, tiga mangsa dalam pacuan empat roda terbabit tercampak keluar dan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia manakala pemandu serta penumpang tempat duduk belakang patah kaki dan dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan,” kata Asmadi.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda itu patah kaki kiri manakala penumpang tempat duduk belakang patah kaki kanan dan cedera di kepala.

“Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat cedera teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kenderaan terbabit ditempatkan di Balai Trafik Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:44 AM