MANGSA maut selepas dirempuh lori tunda ketika mengawal lalu lintas di Lebuhraya Besraya menghala ke Salak Selatan, semalam.
MANGSA maut selepas dirempuh lori tunda ketika mengawal lalu lintas di Lebuhraya Besraya menghala ke Salak Selatan, semalam.
Nur Afiradina Arshad


Kuala Lumpur: Niat mahu membantu sebaliknya bertukar tragedi apabila seorang peronda Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) maut dirempuh lori tunda.

Dalam kejadian jam kira-kira 7 pagi semalam, mangsa, Mohd Roslan Mohd Zawawi, 32, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan tugas di Kilometer 16.3, Lebuhraya Besraya menghala ke Salak Selatan daripada arah Tol Loke Yew.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengawal lalu lintas berikutan terdapat sebuah kereta terbabas di lokasi kejadian.

“Difahamkan sebuah kereta BMW terbabas di lokasi berkenaan sebelum cuba ditunda sebuah lori tunda.

“Bagaimanapun muncul sebuah lagi lori tunda yang bergerak di lorong kanan lebuh raya. Lori itu kemudian melanggar sisi kiri kereta Kenari sebelum terbabas dan melanggar mangsa,” katanya.

Zulkefly berkata, akibat kemalangan itu mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia kerana parah di kepala.

“Hasil siasatan mendapati mangsa sudah meletakkan kon keselamatan 40 meter di lorong kiri lebuh raya bersama nyalaan lampu kecemasan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 10:20 AM