DATUK Lajim Ukin pada sidang media penangguhan pinjaman Sahabat AIM di Kota Kinabalu.
DATUK Lajim Ukin pada sidang media penangguhan pinjaman Sahabat AIM di Kota Kinabalu.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan seramai 378,507 peminjam di seluruh negara selama sebulan sehingga akhir Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Lajim Ukin berkata, penangguhan selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

Beliau berkata, berikutan penangguhan terbaharu itu, peminjam atau Sahabat AIM menikmati pengecualian bayaran selama dua bulan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu.

Katanya, lanjutan penangguhan selama sebulan itu membabitkan bayaran balik pinjaman yang sepatutnya dikutip daripada Sahabat AIM berjumlah kira-kira RM384 juta.

"Sebelum ini, AIM memberi penangguhan bayaran balik selama 16 minggu (empat bulan) secara automatik kepada Sahabat AIM ketika PKP 1.0 pada tahun lalu.

"Ia kemudian disusuli penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 yang membabitkan seramai 12,568 Sahabat AIM yang mana ada di antara mereka yang benar-benar terkesan akibat pandemik Covid-19 masih diberi penangguhan hingga ke hari ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain penangguhan bayaran balik pinjaman, Lajim berkata AIM turut menangguhkan semua mesyuarat pusat, perjumpaan pusat khas dan kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dan Tabung Khairat Hutang.

Pada masa sama, katanya AIM juga menangguhkan pembentangan permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, pengeluaran Tabung Kumpulan, tuntutan Tabung Khairat Hutang, penjadualan semula pembiayaan dan pembentangan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman.

Bagaimanapun, AIM membenarkan kutipan balik bayaran Skim Pembiayaan Ikhtiar melalui kaedah bukan tunai atau e-bayaran.

Dalam pada itu, Lajim berkata AIM turut memperkenalkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM, selain menyediakan pelbagai insentif lain termasuk penangguhan tambahan, program kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan bengkel atau kursus secara digital untuk Sahabat AIM.

"Bagi memastikan kebajikan Sahabat AIM terbela, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang setakat ini memberi manfaat kepada seramai 20,700 keluarga menerusi Program Bakul Kasih AIM.

"AIM sesungguhnya amat prihatin terhadap kesusahan yang dialami Sahabat AIM dan atas sebab itu kita berusaha untuk melaksanakan program pasaran produk Sahabat AIM secara dalam talian supaya dapat menjangkau pasaran yang lebih luas dan mereka dapat terus berniaga tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, AIM juga sedang merangka pelan pemulihan pendapatan Sahabat AIM bagi membantu mereka bangkit semula daripada situasi sukar sepanjang PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 3:05 PM