Kuala Lumpur: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberi peluang kepada mangsa banjir khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk menangguhkan bayaran balik pembiayaan secara berperingkat sehingga keadaan pulih seperti biasa.

Pengerusi Lembaga AIM, Dr Zubir Harun berkata, bayaran balik secara mingguan bermula 28 Disember 2014 hingga 11 Januari 2015 akan ditangguhkan.

“Untuk penangguhan ini, ia akan membabitkan semua Sahabat AIM di seluruh Kelantan, cawangan Kemaman, Terengganu serta cawangan Jerantut, Lipis, Kuantan, Maran, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin, Pahang,” katanya.

Menurutnya, pihak AIM bersimpati dengan nasib peminjam AIM yang kehilangan tempat tinggal dan juga punca rezeki. AIM sentiasa bersama mereka dan akan membuat program pemulihan semangat bagi memastikan mereka dapat mengharungi kehidupan seperti biasa dengan penuh kesabaran dan ketakwaan.

Dalam pada itu, AIM turut melancarkan Tabung Bencana Banjir bagi membantu mangsa banjir dan mengarahkan semua pejabat AIM membuat kutipan sama ada berbentuk sumbangan tunai, pakaian, bekalan makanan serta keperluan asas.

“Sebagai tanda prihatin AIM akan menyumbang RM1 juta bagi program pemulihan perniagaan untuk mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Kami juga akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan pihak kerajaan bagi memastikan peminjam AIM yang miskin ini dapat meneruskan perniagaan yang terjejas teruk akibat banjir,” katanya.

Menurutnya, AIM juga akan mengenal pasti keperluan peminjam terutama yang miskin dalam menghadapi gelombang kedua atau ketiga banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 10:07 AM