ULAR sawa batik yang berjaya ditangkap bomba selepas masuk ke dalam enjin jengkaut. FOTO  NURALIAWATI SABRI.
ULAR sawa batik yang berjaya ditangkap bomba selepas masuk ke dalam enjin jengkaut. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sekumpulan pekerja pembersihan terpaksa menangguhkan tugas dilakukan selepas seekor ular sawa batik 'menumpang' jengkaut digunakan mereka di Taman Kota Laksamana, di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi tadi, sekumpulan pekerja itu dikatakan terkejut dengan kehadiran reptilia sepanjang lebih 3 meter itu ketika sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.11 pagi sebelum sebuah jentera dari BBP Melaka Tengah bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati terdapat seekor ular sawa batik berada di dalam enjin jengkaut serta berlingkar pada kipas jentera.

"Kami difahamkan ular sawa itu masuk ke bahagian enjin jengkaut. Haiwan itu mungkin terkejut dan ingin menyorok apabila kerja pembersihan dijalankan di situ.

"Operasi menangkap ular sawa itu berdepan sedikit kesukaran apabila haiwan itu berada di ruang yang kecil ditambah dalam keadaan terbelit pada kipas jentera," katanya.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum berjaya mengeluarkan haiwan itu dari bahagian enjin jengkaut.

"Kami mengambil masa lama untuk 'memujuknya' keluar. Ia perlu dilakukan berhati-hati berikutan gigitan ular sawa boleh mendatangkan kecederaan serius," katanya.

Ujarnya, ular sawa batik terbabit kemudian dilepaskan pihaknya ke habitat asal reptilia itu yang jauh dari kediaman penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 5:01 PM