ANGGOTA bomba berusaha menangkap ular sawa yang memasuki bahagian enjin kereta di Taman Jaya 2, Temerloh, malam tadi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha menangkap ular sawa yang memasuki bahagian enjin kereta di Taman Jaya 2, Temerloh, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Roselan Ab Malek


MAJLIS akad nikah seorang juruteknik di Taman Jaya 2, Temerloh, malam tadi, bertukar kecoh seketika selepas seekor ular sawa memasuki enjin kereta miliknya.

Difahamkan, reptilia seberat tiga kilogram dengan panjang 1.5 meter itu disedari memasuki enjin kereta Toyota Vios milik Faisal Asymawi Jaafar, 25, pada 11.30 malam tadi.

Ular sawa itu berjaya ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian.

Sementara itu, Faisalaslam, 29, yang juga abang kepada Faisal Asymawi berkata, pada mulanya ular sawa itu berada di atas tayar kereta milik adiknya yang akan melangsungkan akad nikah, malam tadi.

“Kami kemudiannya melihat ular itu memasuki dalam bahagian enjin kereta dan bimbang dengan kejadian tidak diingini, kami menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Memang kecoh seketika dengan kejadian itu, namun semuanya selesai dengan baik hasil kecekapan pegawai dan anggota bomba yang membantu menangkap ular sawa terbabit,” katanya yang datang dengan keluarga dari Johor bagi menghadiri majlis berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Bukit Angin, Penolong Penguasa Bomba Hasnuddin Husin berkata, pegawai dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati reptilia itu berada dalam enjin kereta berkenaan dan mereka menggunakan peralatan khas bagi menangkap ular berkenaan.

“Pegawai dan anggota kami menggunakan peralatan dipanggil penjerut untuk menangkap ular sawa itu dan tugas berkenaan selesai dalam tempoh kira-kira 15 minit.

“Ular itu kemudiannya kami lepaskan ke tempat yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:58 PM