AMIRUL bermanja dengan ular sawa albino dan  batik peliharaannya. FOTO Mohd Rafi Mamat
AMIRUL bermanja dengan ular sawa albino dan batik peliharaannya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Minat mendalam terhadap haiwan eksotik mendorong seorang pemuda dari Taman Pertama di sini, berbelanja besar bagi membeli haiwan berkenaan untuk dipelihara.

Antara haiwan tempatan dan luar negara yang menjadi koleksi peribadi

Amirul Hakimi Ahmad, 23, ialah ular sawa batik albino, iguana, biawak Afrika, landak, musang, labah-labah, tupai terbang atau sugar glider dan kura-kura.

Menurutnya, dia mula memelihara haiwan eksotik selepas memiliki seekor musang pandan empat tahun lalu ketika belajar di Politeknik Sultan Haji Ahamd Shah (POLISAS) Semambu.

Kini, dia memiliki tujuh ular sawa batik, iguana hijau, biawak Afrika, tikus dan dua musang yang dibelinya dengan harga lebih RM3,000.

“Sebelum ini saya memang geli dengan ular namun suatu hari beberapa rakan serumah mencabar supaya memegang dan bermain dengan reptilia dipelihara mereka.

“Bermula dari situ perasaan geli dan takut pada ular berkurangan dan kini hilang sepenuhnya,” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Amirul Hakimi yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal POLISAS berkata, selain mengisi masa lapang, membelai haiwan eksotik menenangkan fikiran dan menghilangkan tekanan selepas penat berkerja.

Dia yang menjalankan perniagaan makanan segera di pasar malam berkata, walaupun ular sawa bersifat jinak namun reptilia itu boleh menyerang bila-bila masa apabila terancam, lapar dan terkejut.

“Teknik yang betul diperlukan ketika mengeluarkan mereka dari sangkar. Saya pernah dipatuk ular sawa namun tidak serius.

“Kejadian itu mengajar saya supaya lebih berhati-hati ketika berdepan dengan reptilia itu yang boleh bertindak ganas apabila berasa terancam,” katanya.

Amirul Hakimi berkata, dia membelanjakan lebih RM200 sebulan untuk menyediakan makanan haiwan peliharaannya termasuk sayuran daun yang menjadi kegemaran iguana setiap hari.

Katanya, ular sawa peliharaannya diberi makan tikus tiga atau empat hari sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:18 AM