Anggota APM menangkap ular sawa sepanjang tiga meter. FOTO ihsan APM
Anggota APM menangkap ular sawa sepanjang tiga meter. FOTO ihsan APM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENDUDUK Kampung Pelindung Pantai di Kuantan gempar apabila ular sawa batik ditemui di kawasan kampung itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, ular sawa sepanjang tiga meter itu ditemui penduduk kampung di tanah lapang sebelum memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Difahamkan reptilia itu ditemui seorang penduduk yang sedang melakukan kerja pembersihan tanah menggunakan jengkaut.

Pegawai Pertahanan APM Kuantan Kapten (PA) Shaifu Nizam Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.34 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Empat anggota APM ditugaskan ke lokasi ular sawa itu dijumpai. Kami menggunakan penjerut untuk menangkap ular itu sebelum ia dimasukkan ke dalam guni.

“Kira-kira 10 minit diambil untuk menangkap ular sawa itu dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, reptilia itu sudah dilepaskan di habitat asalnya di kawasan yang tidak mempunyai penduduk, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:55 PM